5 TOKOH PENGANGKUTAN DI MALAYSIA
Bisnes pengangkutan ini adalah perniagaan yang mencabar dan
memerlukan pengalaman serta keazaman yang tinggi untuk berjaya. Membina empayar
perniagaan dalam bisnes pengangkutan bukanlah semudah yang disangkakan.
Jom baca, kisah-kisah tokoh pengangkutan di Malaysia ini.
#1 - Wan Mohd Sani (SANI EKSPRESS)
PADA usia 33 tahun, anak muda ini bagaikan memiliki segala-galanya. Perniagaan yang memberi pulangan jutaan ringgit, bangunan sendiri sebagai pusat operasi perniagaan dengan kos pembelian serta pengubahsuaian mencecah RM7 juta, memandu kereta Ferrari F360 Modena bernilai RM1 juta dan mendiami banglo mewah bernilai RM 9 juta.
Memang selayaknya anak muda itu digelar jutawan, tetapi dalam pertemuan baru-baru ini, beliau lebih gemar merendah diri dan mengatakan apa dimilikinya hari ini adalah rezeki diberi Allah SWT.
“Saya berusaha keras untuk capai kejayaan seperti hari ini. Namun, ketentuannya adalah daripada Allah SWT,” kata anak muda itu.
Anak muda yang dimaksudkan adalah Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (SUSB), Datuk Wan Mohammad Sani Salleh, 33. Sejak tiga tahun lalu di sana-sini namanya sering menjadi sebutan. Namanya harum kerana bas berwarna merah yang terukir namanya sendiri.
Siapa tidak pernah mendengar nama Sani Express. Destinasi ke ‘Pantai Timur’ sudah ditawan dan kini semakin ligat meneroka destinasi ke Alor Setar di utara.
Lebih mengagumkan, bermula bulan ini 25 bas dimiliki, semuanya bas dua tingkat yang tampak elegen dan semestinya menjanjikan keselesaan.
Bagi Wan Mohd Sani atau lebih mesra dengan panggilan Sani, apa dikecapinya hari ini di luar jangkaan, malah tidak pernah diimpikannya. Beliau memulakan perniagaan atas dasar minat dan mahu merubah kehidupannya ke tahap lebih baik.
“Biasalah… dulu saya seperti ‘main-main’. Masuk industri hiburan, jadi model, penyanyi dan pelakon sehingga lama kelamaan saya sedar sampai bila saya harus begitu.
“Ketika itu hidup sekadar untuk cari makan dan hiburkan diri sendiri. Bukan saya kata bidang hiburan tak menjanjikan kejayaan, tetapi biasanya sukar untuk cemerlang dalam bidang itu,” katanya ketika ditemui di Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral, Klang bersama rakan karibnya, Pengarah Urusan Federal Malay Holding Sdn Bhd, Datuk Sharifuddin Musa.
Selama beberapa tahun menceburi bidang hiburan, Sani mengakui tidak nampak masa depannya dalam bidang itu.
Rakannya sejak zaman kanak-kanak, Datuk Sharifuddin dijadikan sebagai inspirasi selepas melihat rakannya berjaya dalam perniagaan.
“Melihat rakan yang berjaya, terutama Datuk Din (Datuk Sharifuddin), saya berasa ketinggalan. Dulu dia pernah bersama-sama saya menjadi model, tetapi dia meninggalkan bidang itu terlebih dulu untuk berniaga sehingga berjaya.
“Pada masa sama saya sedar, umur semakin meningkat dan yang boleh merubah keadaan saya ketika itu hanya diri saya sendiri,” katanya yang pernah menganggotai kumpulan Impression bersama Norman Hakim dan Eizlan Yusof.
Beliau meletakkan tekad untuk merubah tahap kehidupannya dengan berniaga sendiri.
Katanya, beliau bermula dengan membuka bengkel membaiki kenderaan di beberapa tempat seperti Kuala Lumpur dan Terengganu dan seterusnya mencuba perniagaan dalam bidang pengangkutan iaitu bas yang sememangnya menjadi minatnya.
“Ketika zaman sekolah, saya bersekolah di Kuala Terengganu dan keluarga pula di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Apabila berpeluang pulang ke Kuala Lumpur saya memilih bas sebagai pengangkutan.
“Boleh dikatakan rutin saya ketika bercuti hanya menaiki bas dan tidur di atas bas. Jika ada cuti sehari sekalipun, malam saya naik bas ke Kuala Lumpur dan pada malam keesokan harinya saya pulang ke Kuala Terengganu,” katanya.
Pada 2003 Sani menubuhkan SUSB khusus untuk perniagaan pengangkutan itu.
“Ketika itu saya bersama dua lagi rakan kongsi. Namun tidak lama kemudian dua rakan itu menarik diri, menyebabkan saya terkontang-kanting seorang diri. Keadaan ketika itu memang getir,” katanya.
Beliau terpaksa berhati-hati kerana sebarang keputusan dibuat adalah tanpa dirujuk kepada sesiapa.
“Ketika ada dua rakan kongsi itu, saya boleh merujuk kepada mereka, tetapi apabila seorang diri, saya perlu membuat keputusan sendiri.
“Jika tersilap membuat keputusan, memang saya akan jatuh. Justeru sebelum membuat keputusan, saya fikir 10 kali,” katanya.
Sani berkata, ketika itu beliau hanya ada seorang pekerja dan dengan menggunakan sepenuhnya kudrat dan buah fikirannya, segala perancangan untuk memulakan operasi bas ekspres yang diimpikannya hanya menampakkan hasil selepas tiga tahun bertungkus lumus dan modal daripada institusi kewangan.
Katanya, beliau menanggung risiko besar kerana pinjaman yang dibuat, tetapi beliau berani dan yakin dengan apa yang dibuat.
“Bayangkan jika apa yang saya buat tidak menjadi. Bagaimana saya dapat melunaskan pinjaman dalam jumlah besar itu?
“Apapun pada Januari 2006 Sani Express ada di jalan raya dan alhamdulillah perjalanan perniagaan ini lancar, mendapat sambutan dan sejak itu perniagaan saya semakin pesat berkembang,” katanya.
Sani membuktikan ‘jalan’ dipilihnya berbaloi kerana hanya dalam tempoh tiga tahun Sani Express menunjukkan prestasi luar biasa.
Daripada seorang pekerja, Sani kini mempunyai 150 kakitangan sendiri. Daripada pejabat kecil di Ukay Perdana, Sani kini ada wisma sendiri yang dibeli dan diubahsuai dengan belanja mencecah RM 7 juta. Wisma tiga tingkat dinamakan Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral itu serba lengkap. Selain menjadi pusat operasi, wisma itu dilengkapi asrama, pusat latihan dan surau.
Paling menarik, segala operasi di kaunter tiket Sani Express di setiap negeri dipantau secara langsung menerusi kamera litar tertutup yang dipancarkan terus ke wisma berkenaan. Menurut Sani, selain minat, antara faktor kejayaannya adalah sikapnya yang tidak malu bertanya dan belajar daripada sesiapa saja.
“Saya bukan sekolah tinggi sangat. Saya belajar daripada orang berpengalaman, malah dengan sesiapa saja. Dengan pemandu bas saya belajar, dengan mekanik saya belajar, malah dengan orang yang pernah gagal juga saya belajar kerana kegagalan itu akan saya jadikan iktibar.
“Daripada situ kita dapat ilmu, malah sampai sekarang saya masih belajar. Saya buat analisis dan kajian sendiri, baru kita boleh kendalikan perniagaan dengan baik,” katanya.
Statusnya sebagai orang bujang juga banyak memberi kelebihan kepadanya.
Beliau belum berkeluarga dan mampu memberi tumpuan 100 peratus kepada perniagaan.
“Setakat bekerja keras dari siang hingga tengah malam, ia ibarat alah bisa tegal biasa,” katanya yang menganggap pengalaman menjadikan bas ekspres sebagai pengangkutan utamanya dulu turut menjadi faktor kejayaannya.
“Dari dulu saya guna pengangkutan awam (bas ekspres), jadi saya tahu apa yang pelanggan nak dan saya gunakan pengalaman itu ketika menguruskan Sani Express.
“Selain itu saya mengambil berat setiap jawatan yang ada di syarikat ini, daripada kerani kaunter hinggalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Ini kerana jika satu saja jawatan tidak berfungsi dengan baik, operasi syarikat akan terganggu,” katanya yang mesra dengan kakitangannya. Sani berkata, tanpa keberkatan dan doa juga, tidak mungkin beliau berjaya.
“Apa jua perkara yang kita lakukan, kita kena berpegang kepada agama. Buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang.
“Doa juga penting dan dalam hal ini ibu saya Sharifah Aini Syed Ibrahim Jamalulai sering mendoakan saya, begitu juga ayah saya. Kita juga perlu ingat kepada orang yang pernah membantu kita,” katanya.
Profil
NAMA: Datuk Wan Mohammad Sani Salleh
USIA: 33 tahun
LAHIR: 24 Julai 1976 di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Terengganu
ADIK BERADIK: Keempat daripada enam beradik
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan Kolej Sunway (1994)
JAWATAN: Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (Sani Express Sdn Bhd, Sani Properties Sdn Bhd dan Sani Hotel Sdn Bhd).
PENCAPAIAN: Dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah (Jun 2009) dan Anugerah Usahawan Cemerlang Dewan Perniagaan Melalyu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur (April, 2009)
# 2 - Datuk Lee Boon Siew (Boon Siew HONDA MALAYSIA)
Datuk Loh Boon Siew berasal dari Kampung Hui, daerah Fukian, sebuah wilayah yang di anggap paling miskin di China pada satu ketika dahulu. Kehidupan keluarga Datuk Loh sangat miskin menyebabkan beliau tidak pernah berpeluang ke sekolah.
Sejak kecil lagi beliau bekerja mengutip najis haiwan sebagai baja pertanian dan memancing ikan untuk dijual sebagai tambahan pendapatan keluarganya. Ketika berumur 12 tahun, ayahnya membawanya ke Pulau Pinang untuk berhijrah dan mencari sumber pendapatan. Beliau disuruh oleh ayahnya bekerja di sebuah kedai mekanik.
Mereka berdua tidak mempunyai sedikit pun masa untuk bersuka-suka tetapi bekerja kuat untuk menghantar duit untuk keluarga yang berada di China. Untuk memperolehi pendapatan lebih, di sebelah malam beliau membasuh bas dan upahnya 10 sen bagi setiap bas. Ketika berumur 18 tahun, beliau tertarik untuk berniaga sendiri dan sering memikirkan cara bagaimana untuk mendapat peluang berbuat demikian.
Hasil daripada wang yang disimpan sedikit demi sedikit, dia kemudian membeli beberapa peralatan mekanik bernilai RM 10.00 dan 8 buah bas berharga RM200.00 untuk diperbaiki dan dijadikan bas penumpang. Bas ini mendatangkan hasil lumayan kepada beliau iaitu RM1.20 hingga RM 1.40 sehari.
Setiap keuntungan disimpan sedikit sementara bakinya dijadikan modal pusingan semula. Dalam masa 7 tahun beliau mempunyai 40 buah bas dan membuka kedai bateri serta barang ganti kenderaan. Selepas perang dunia kedua tamat, Datuk Loh meluaskan perniagaannya dengan membuka kedai kereta terpakai dan menjadi ejen pengedar beberapa jenis motosikal keluaran British.
Dalam tahun 1958, beliau melawat Jepun untuk makan angin. Di Jepun beliau ternampak sebuah motosikal Honda yang belum pernah digunakan di Malaysia dan berfikir mungkin mendapat pasaran baik jika dibawa ke sini. Setelah mengesan siapakah pengeluarnya, beliau membuat perjanjian untuk memesan 12 unit. Motosikal ini kemudian dijual kepada kawan rapatnya tanpa mengambil apa-apa untung.
Motosikal Honda yang dibawanya ditertawakan oleh orang ramai yang menganggap ia tidak berguna dan cepat rosak, namun ia tidak mematahkan hasratnya untuk memperkenalkan motosikal sehingga menjelang tahun 1963, motosikal Honda menjadi kenderaan yang paling diminati.
Beliau adalah orang yang berjaya menempatkan kereta jenis Honda sebagai kenderaan ketiga terbesar dijual di negara ini sejak 3 tahun lalu. Kini beliau mempunyai alasan untuk berbangga dengan kejayaannya di dalam alam perniagaan dan tokoh korporat, sekali gus meletakkan beliau sebagai seorang yang terkaya di Pulau Pinang dan antara 10 tokoh usahawan terkemuka di Malaysia.
Adalah menjadi pengetahuan umum, Datuk Loh tidak pandai menulis namanya secara tepat setelah belajar sekian lama. Namun begitu memiliki satu pasukan profesional untuk berkhidmat dengannya.
# 3 -Tony Fernandes (AIR ASIA)
MUNGKIN ramai yang tidak menyedari bahawa seorang ahli muzik yang pernah mengetuai syarikat rakaman Warner Music (M) Sdn. Bhd., Tony Fernandes kini merupakan seorang tokoh korporat tanah air yang disegani kerana kejayaannya mencetus revolusi dalam industri penerbangan rantau Asia.
Bagaimanapun, kejayaan yang dibinanya sejak enam tahun lalu itu, bukannya datang bergolek, kerana Fernandes, yang mahir bermain keyboard itu, terpaksa melalui ‘ranjau dan duri’, sebelum berjaya membina firma penerbangan tambang murah AirAsia Bhd. sehingga dikenali di peringkat antarabangsa pada masa ini.
Kejayaannya itu juga telah mengheret beliau ke dalam kancah kontroversi termasuk dikaitkan dengan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, tokoh korporat T. Ananda Krishnan (seorang hartawan), Tan Sri Vincent Tan (tokoh korporat), Datuk Mokhzani (anak Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan beberapa orang lain, tetapi Fernandes mengambil sikap ‘membisu’ kerana tidak mahu kontroversi itu merebak menjadi isu.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia itu ketika menceritakan detik permulaan beliau menceburi industri penerbangan berkata: “Saya sudah lama bercita-cita ingin menceburi perniagaan secara serius, tetapi tidak tahu perniagaan apa yang ingin dijalankan.”
Fernandes berkata, idea untuk menubuhkan syarikat penerbangan datang secara spontan semasa beliau berada di London, ketika menonton televisyen.
“Saya tertarik melihat iklan sebuah syarikat penerbangan tambang murah, Easyjet. Kemudian saya bergegas ke Lapangan Terbang Luton (di London) dan menghabiskan masa selama dua hari di sana.
“Saya tertarik dengan konsep perniagaan itu dan bercadang untuk memperkenalkan perkhidmatan itu di Malaysia dan menyimpan impian untuk mengembangkan konsep itu di rantau Asia,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Katanya, setelah kembali ke Malaysia, beliau telah menyatakan hasratnya itu untuk menubuhkan syarikat penerbangan kepada kawan rapatnya (Datuk) Kamarudin Meranum yang merupakan bekas kakitangan sebuah bank pelaburan dan kini menjadi Pengarah Eksekutif AirAsia.
“Saya mengenali Kamarudin menerusi Sheila Majid (Ratu Jazz Malaysia) dan selain itu, Kamarudin juga merupakan kawan rapat kepada Roslan Aziz (penerbit muzik).
“Saya menyatakan hasrat saya untuk menjadi usahawan dan menubuhkan syarikat penerbangan kepada Kamarudin.
“Setelah mendengar penjelasan saya itu, Kamarudin bersetuju untuk bersama dan kami kemudian mengeluarkan wang simpanan masing-masing dan berjaya mengumpulkan sebanyak RM1 juta sebagai modal permulaan,” katanya.
Fernandes berkata, beliau masih ingat lagi tarikh keramat itu ialah pada Mei 2001. Beliau dan Kamarudin menjemput seorang lagi rakan baik mereka dalam industri muzik tanah air iaitu Aziz Bakar untuk menyertainya.
“Kami kemudian menemui Datuk Pahamin Ab. Rajab, untuk meminta bantuannya bagi mendapatkan lesen penerbangan.
“Kami meminta bantuan Pahamin kerana beliau sebelum itu banyak membantu industri muzik dalam memerangi cetak rompak semasa menjadi Ketua Setiausaha di Kementerian Perdagangan Hal Ehwal Dalam Negeri,” katanya.
Menurut Fernandes, Pahamin kemudian mengatur temu janji bagi pihak kami dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi Perdana Menteri.
“Dalam pertemuan itu, Tun Mahathir telah memaklumkan bahawa lesen syarikat penerbangan tidak lagi dikeluarkan dan jika kami berminat, kami diminta mengambil alih mana-mana syarikat penerbangan yang ada ketika itu.
Gandingan dua usahawan hebat Tony Fernandes dan Kamrudin Meranun “Pahaminlah yang telah menukar impian kami menjadi kenyataan,” katanya.
Atas jasanya (Pahamin) itu, Fernandes berkata, beliau telah mempelawa Pahamin menjadi rakan kongsi. Fernandes dan rakan-rakan kongsinya itu kemudian mengambil alih syarikat penerbangan AirAsia Sdn. Bhd. daripada DRB-Hicom Bhd. menerusi Tune Air Sdn. Bhd., pada 8 September 2001 untuk diterapkan konsep tambang murah.
Ketika mengambil alih Tune Air, mereka juga terpaksa mengambil alih hutang tertunggak syarikat tersebut dengan Malaysia Airlines Bhd., Malaysia Airport Holdings Bhd. dan Petronas yang berjumlah RM20 juta, katanya.
“Selepas mengambil alih AirAsia, kami diberi tempoh selama enam bulan untuk melunaskan kesemua hutang yang tertunggak itu.
“Kami telah berbincang bagi mencari jalan bagaimana untuk menjelaskan hutang tersebut kerana kami tidak mempunyai modal yang mencukupi,” katanya.
Penyelamat
Menurut Fernandes, penyelamat mereka ketika itu adalah kontrak AirAsia dengan Tabung Haji yang diwarisi daripada DRB-Hicom, yang menjana keuntungan kepada AirAsia.
Beliau berkata, keuntungan daripada kontrak AirAsia itu telah digunakan untuk membayar balik hutang tersebut.
“Kontrak penerbangan jemaah haji yang berbaki dua tahun ketika kami mengambil alih AirAsia telah menjadi penyelamat, kalau tiada kontrak itu, tak tahulah apa yang mungkin berlaku pada kami ketika itu.
“Kami juga telah meminta seorang lagi rakan kami iaitu, bekas pemain gitar base kumpulan Discovery (Datuk) Nasser Abdul Kassim yang pernah bermain bersama Fauzi Marzuki dan Goh Boon Hoe untuk menguruskan kontrak tersebut,’’ katanya.
Nasser kini merupakan Pengarah Rantau Kargo AirAsia, tambah beliau. Nasser berjaya melaksanakan tugasnya dengan cemerlang, namun begitu kontrak tersebut tidak dilanjutkan kerana kerajaan memberikan kontrak itu semula kepada MAS, katanya.
“Kami di AirAsia memang suka berkawan dan kami melantik kawan-kawan daripada pelbagai latar belakang dan keturunan untuk menjadi rakan kongsi kami. Ternyata formula ini telah membuahkan kejayaan kepada AirAsia,” katanya.
Fernandes berkata, kejayaan AirAsia bukan sahaja merupakan manifestasi kejayaan negara tetapi merupakan simbol kejayaan masyarakat majmuk dalam menguruskan sebuah syarikat perniagaan.
Ketika menceritakan lebih lanjut perkembangan AirAsia, Fernandes berkata: “Baru-baru ini, kami telah melantik Mark Lankester (adik kepada pelakon Susan Lankester) sebagai Timbalan Ketua Eksekutif Tune Hotels.Com; Datuk Seri Kalimullah Hassan sebagai Pengerusi AirAsia X; Tengku Zafrul Aziz (bekas Ketua Avenue Securities Sdn. Bhd.) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tune Money Sdn. Bhd. dan penyanyi rock, Jason Lo sebagai Ketua Eksekutif Tune Talk Sdn. Bhd.”
Fernandes berkata, beliau mengenali Kalimullah semasa makan di sebuah restoran. Tune Hotel lambang kejayaan usahawan Malaysia Beliau berkata, kesemua mereka itu adalah rakan-rakan rapatnya dan langkah melantik mereka ke dalam syarikat adalah bertujuan mengembangkan AirAsia.
“Saya sedar, kejayaan besar saya dalam tempoh yang singkat itu telah menimbulkan pelbagai tuduhan kononnya syarikat kami dimiliki oleh Ananda Krishnan, Vincent Tan, Mokhzani, Khairy dan beberapa orang lain.
“Malah ada yang mendakwa nombor pendaftaran pada pesawat kami bermula dengan ‘AK’ membawa maksud Ananda Krishnan. Sebenarnya nombor itu telah lama ada pada pesawat kami dan kami warisi nombor itu daripada syarikat induk terdahulu iaitu DRB-Hicom Bhd.,” katanya.
Sambil menafikan semua desas-desus itu, Fernandes berkata, kejayaan syarikat tersebut adalah hasil kerja keras seluruh warga kerja AirAsia yang terdiri daripada berbilang kaum, yang bertungkus-lumus membawa AirAsia ke puncak kejayaannya sekarang.
Mengenai hubungannya dengan Khairy, Fernandes berkata, beliau mengenali Khairy semasa Naib Ketua Pemuda UMNO itu memperkenalkan program pasukan bola sepak berkonsep realiti, MyTeam pada tahun 2006.
“Saya tertarik dengan konsep itu kerana merasakan ia berpotensi untuk diketengahkan dan kemudian bersetuju menaja pasukan tersebut, tidak lebih daripada itu,” katanya.
Fernandes juga bangga kerana kejayaan AirAsia adalah atas sikap berdikari dan tidak bergantung kepada subsidi kerajaan.
Katanya, tiada yang istimewa dalam AirAsia, sesiapa sahaja mampu melakukannya, jika ada tekad dan azam yang kuat, di samping sikap tidak mahu mengalah.
Dalam tempoh enam tahun sejak penubuhannya, kakitangan AirAsia kini meningkat daripada 200 orang kepada 5,000 orang dengan pesawat meningkat kepada 65 buah berbanding dua buah pesawat pada permulaan dan jumlah penumpang daripada 200,000 setahun kepada 18 juta setahun.
Kini Fernandes dan rakan-rakan daripada semua kaum membuktikan syarikat Malaysia mampu bersaing di pentas global dan mengubah landskap industri penerbangan negara selaras dengan label syarikat itu,
‘Now Everyone Can Fly’.
___________________________________________________
#4 Ahmad Kemin (MUTIARA MOTORS)
"JIKA kita nyatakan bahawa dunia ini tidak menyebelahi kita, maka itu menunjukkan keyakinan rohaniah kita lemah. "Keseluruhan hidup manusia pada hakikatnya seperti satu perjuangan dan peperangan, perjuangan hanya akan tamat pada akhir hayat, mereka yang mahukan kejayaan perlulah menerima hakikat tersebut."
Demikian frasa yang lahir dari hati seorang tokoh ternama negara, Datuk Ahmad Kemin, 64, membawa pengertian yang sangat mendalam.
Kata-kata itu juga sebenarnya adalah kelongsong azimat yang membawa Pengerusi Eksekutif Mutiara Motors Sdn. Bhd. itu menggapai kecemerlangan. Bukan hanya untuk dirinya sahaja malah untuk negara. Mutiara Motors di bawah teraju Ahmad adalah syarikat pemegang permit import (AP) dan juga wakil pengedar kereta jenama terkemuka dunia iaitu Toyota, Artega dan Lexus.
Rintangan
Sepanjang 27 tahun beroperasi, Mutiara Motors kini turut memiliki anak syarikat lain seperti Mutiara Motors Resort Sdn. Bhd., Mutiara Motors Performance Products Sdn. Bhd., Mutiara Motorsports Sdn. Bhd., M7 Motorsports Sdn. Bhd. dan M7 Racing Sdn. Bhd.
Rentetan kejayaan Ahmad bukan semudah seperti mendendangkan sebuah cerita. Seperti kata anak kelahiran Kampung Mampan, Batu Pahat, Johor: "Saya bergelut dengan pelbagai rintangan, perit jerih, sepak terajang perniagaan, saya tetap tebalkan muka, keraskan kepala dan ringankan tulang untuk mengharunginya."
Terus-terang, seribu perasaan meledak dalam fikiran penulis ketika pertama kali bersua dengannya.
Namun, lelaki itu mewujudkan atmosfera luar biasa sehinggakan kata-kata yang terucap olehnya mewajarkan dirinya diteladani.
Bahtera kehidupan yang dilayari oleh figura itu ketika zaman kanak-kanaknya tidak akan hilang denyutnya begitu sahaja.
"Semasa kematian ibu usia saya 12 tahun, salah seorang kakak menjaga saya, ketika itu kehidupan amat susah dan memaksa saya meninggalkan bangku sekolah untuk bekerja mencari rezeki," katanya yang hanya sempat belajar setakat darjah enam sahaja.
Namun, momen bersama arwah ibu masih berbekas di hatinya. Ceritanya, demi mencari sesuap nasi, beliau bersama ibu pernah berjalan kaki dari Kampung Melayu Majidee untuk menjual ubat tradisional.
Ujar Ahmad, beliau telah dididik bahawa alam mempunyai banyak cara untuk menghukum kemalasan. Justeru, sejak usia 16 tahun, beliau ligat kerja. Beliaulah penghantar maklumat, beliaulah peon, pencari fail, pembantu makmal dan juga penjaga stor dengan gaji sebanyak RM180 di Jabatan Kerja Raya (JKR), Johor.
"Di luar waktu kerja, saya menjual ais kepal di warung, berniaga barangan plastik di pasar malam, menjual jam tangan, membeli kereta-kereta buruk, membaiki dan menjualnya semula," katanya dengan mata hangat berkaca.
Ceritanya tentang bibit kesengsaraannya seperti bermonolog. Namun, perlakuan itu tidak memuakkan. Beritahu Ahmad, dia berhenti makan gaji apabila Ketua Jabatan JKR ketika itu, Yow Yuan Kow telah mencabarnya meletak jawatan lantaran lelaki Tionghua itu sedar dirinya seorang yang kuat bekerja. Ketika itu, Ahmad berusia 35 tahun.
"Perniagaan pertama saya selepas berhenti daripada JKR ialah menubuhkan Syarikat Murni Motors (bertukar nama kepada Mutiara Motors Sdn. Bhd. pada 13 Disember 1982) yang beroperasi di Jalan Dato' Abdullah Tahir, Johor Bahru, Johor dengan tiga rakan kongsi," katanya.
Semakin tinggi gunung didaki, semakin banyak onak dan duri mesti dilalui sebelum sampai ke puncak, kata aristokrat itu.
Ujarnya melondehkan kemelut yang membelenggu seawal berbisnes: "Pelbagai masalah dan rintangan bersilih ganti, modal kecil, bank sedikit pun tak memandang perniagaan saya sebagai berdaya saing dan paling perit, dendam dan hasad dengki manusia yang tak mahu lihat kita berjaya."
Peritnya 'kesakitan' itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, kata Ahmad. Tahun 1985, tiada siapa menduga, pasaran saham negara jatuh merudum. Impaknya, operasi Mutiara Motors terpaksa dihentikan. Bisnes landskap yang dijalankan pada tahun berikutnya juga tidak menjadi.
Gagal berniaga
Antara tahun 1980 hingga 1990, Mutiara Motors melakukan anjakan paradigma. Apakah yang dilakukan usahawan tersohor ini? Berpadanan dengan selera generasi muda, Ahmad mengimport kereta sport. Ternyata percaturan itu berhasil.
"Walau beberapa kali gagal dalam perniagaan, tak bermakna saya kurang disiplin," tegas anak kesembilan daripada 12 beradik.
Putaran kehidupan dan hukum alam sememangnya tidak dapat disangkal oleh sesiapa. Pada tahun 1997, Ahmad terpaksa memerah otak bagaimana mempertahankan Mutiara Motors tatkala negara berdepan dengan kegawatan ekonomi yang begitu parah.
"Tuhan Maha Kaya, saya dihubungi oleh rakan niaga dari Jepun, K.Yamaguchi yang bertanyakan khabar perniagaan di Malaysia. Dia memahami dan menawarkan bantuan dengan memberi lima buah kereta tanpa sebarang bayaran," katanya penuh kesyukuran.
Menyingsing alaf baharu 2000, Mutiara Motors meletakkan kembali namanya di persada permotoran negara sehingga kini. Pasti ramai tertanya-tanya bagaimanakah seorang yang hanya bersekolah hingga tamat darjah enam boleh berjaya? Jawapannya sangat ringkas iaitu yakin.
Budaya Jepun
Seperkara lagi, Setiausaha Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) itu mengakui, sewaktu mula-mula terjun ke arena bisnes, beliau tidak fasih berbahasa Inggeris.
"Ya, dulu memang saya tak tahu cakap orang putih, saya fikir bagaimana kita nak maju kalau tak tahu cakap Inggeris, tapi bila mengenangkan Jepun boleh menawan pasaran dunia walau kurang fasih, mengapa saya tidak," imbasnya.
Ahmad tidak lokek mengisahkan tentang momen pertama mengadakan rundingan dengan salah sebuah syarikat di Jepun pada awal 1980-an.
"Lucu kalau nak diceritakan balik tapi yang pasti ia agak merimaskan dan kaku kerana banyak isyarat tangan digunakan. Dah macam cakap ayam dengan itik," ujarnya yang pernah meminta rakannya yang boleh berbahasa Jepun dikenali sebagai Rahman Jepun untuk membantunya.
Itu semua kisah lama yang telah dibukukan. Kini, Ahmad lancar berbahasa Inggeris sehinggakan rakan-rakan bisnes dari luar negara kagum dengan kebolehannya bertutur.
Jepun adalah signifikan dengan perniagaan Ahmad, hatta dalam hatinya sekali pun. Katanya: "Jepun sangat dekat dengan saya, Jepun adalah rumah kedua saya dan betapa akrabnya saya dengan aura Jepun dapat ditunjukkan dalam operasi Mutiara.
"Sikap menepati janji dan masa sudah menjadi tabiat orang Jepun, mereka juga menghormati pelanggan, jadi, saya terapkan nilai itu kepada para pekerja saya. Bagi saya, pelanggan adalah raja, layanan pelanggan adalah aspek terpenting kerana selalunya pelanggan akan kembali ke tempat yang dia paling selesa."
Lelaki yang fasih bertutur dalam bahasa Jepun itu melemparkan pandangan jauh. Barangkali beliau bagaikan tidak percaya bahawa Allah menganugerahkan rezeki sehebat itu.
Kisah seperti ditipu rakan sendiri dalam mendapatkan Permit Import (AP), pekerja sendiri pecah amanah dan dengki yang tidak berkesudahan sudah dilontar jauh-jauh oleh Ahmad.
Seperti kata Ahmad: "Hidup saya sejak zaman kanak-kanak hingga dewasa penuh dengan cabaran, tanpa cabaran baharu, jiwa saya menjadi lesu dan kurang bertenaga.
"Sebab itu penerokaan baharu tidak dapat dielakkan dalam perjalanan saya memenuhi tuntutan kehidupan ini."
Sesungguhnya, teguhnya bangunan Mutiara Motors yang terletak di Jalan Tebrau dan Larkin, Johor, menggambarkan prestijnya kedudukan lelaki itu.
#5 KL Hope-On-Hop-Off
BAS dua tingkat atau lebih sinonim dengan panggilan 'double-decker' sering dikaitkan dengan London dan ia menjadi ikon kota raya itu.
Selain London, double-decker juga menjadi pengangkutan popular di beberapa bandar utama di Eropah dan Asia seperti Singapura, Sri Lanka, Jepun dan Hong Kong. Ia biasanya digunakan untuk tujuan bersiar-siar dan melawat tempat menarik di bandaraya terbabit.
Di Kuala Lumpur, penggunaan double-decker untuk kegiatan itu masih terlalu baru dan hanya mula diperkenalkan tahun lalu.
Dikenali sebagai KL Hop-On-Hop-Off, perkhidmatan bas double-decker di ibu negara itu dikendalikan Elang Wah Sdn Bhd, syarikat yang diterajui Syed Azhar Syed Nadzir. Syarikat itu ditubuhkan pada 2006 dengan usaha sama rakan niaga, Rizal Ashram Ramli.
Syed Azhar berkata, penggunaan bas dua tingkat dan pengenalan perkhidmatan bas KL Hop-On-Hop Off dilihat sebagai tepat pada masanya sempena Tahun Melawat Malaysia.
Berkonsepkan `hop-on-hop-off’, pelancong atau penumpang bas boleh naik dan turun di mana-mana laluan dengan menggunakan tiket yang sama untuk tempoh 24 jam.
“Idea untuk memperkenalkan konsep bas ini di Malaysia tercetus ketika saya tinggal di London. Saya pernah terfikir bila balik ke Malaysia saya nak bawa konsep bas seperti itu ke Kuala Lumpur (KL),” katanya dalam pertemuan di Kuala Lumpur, baru-baru ini .
Beliau yang ketika itu bekerja di Airod United Kingdom turut membuat penyelidikan dan mendapati ia sesuai serta berpotensi di Malaysia, terutama untuk menarik pelancong. Sekembali ke Malaysia pada 2005, Syed Azhar mula merencanakan strategi bagi menjalankan perniagaan bas bertingkat di KL.
Pada awal penubuhannya, syarikat membeli empat bas yang dikeluarkan peneraju dalam pembuatan bas dan trak, Scania Chasis And Engine dari Sweden.
Bagaimanapun, badan bas itu dipasang di Malaysia dengan reka bentuk terkini untuk memberikan keselesaan dan perjalanan menyeronokkan kepada setiap pelancong.
Sebelum pelancaran rasmi KL Hop-On Hop Off, banyak publisiti dibuat bagi tujuan promosi dan memperkenalkan perkhidmatan bas bertingkat itu di Malaysia.
“Sebagai perniagaan baru, kami juga tidak dapat lari daripada berdepan masalah, tetapi ia bukannya halangan.
“Yang penting perkhidmatan KL Hop-On Hop Off bukan sekadar untuk melawat sekitar KL tapi juga sepanjang perjalanan itu pelancong akan diberi penerangan mengenai sejarah mengenai tempat menarik yang dilalui bas ini, sejarah serta kejadian yang pernah berlaku di Kuala Lumpur dalam sembilan pilihan bahasa,” katanya.
Syed Azhar menjelaskan, walaupun pada asalnya perkhidmatan itu disasarkan kepada pelancong asing, ia kini akan diperluaskan kepada pelancong tempatan. Katanya, setakat ini permintaan semakin baik daripada pelancong asing yang menguasai 95 peratus daripada penumpang bas itu.
“Bagi pelancong asing bila sebut hop-on-hop off, mereka sudah faham apa fungsi bas ini, tapi bagi pelancong tempatan perkhidmatan ini masih lagi baru kepada mereka dan kami akan pastikan mereka mendapat maklumat yang jelas mengenai perkhidmatan yang disediakan,” katanya.
Harga tiket yang dikenakan juga berpatutan, malah lebih rendah bagi pelancong tempatan iaitu RM19 untuk dewasa dan RM12 kanak-kanak, manakala pelancong asing berharga RM38 (dewasa) dan RM17 (kanak-kanak).
“Tiket ini boleh sah laku untuk tempoh 24 jam dan mereka boleh naik dan turun ikut suka mereka serta pada pada bila-bila masa di semua 22 hentian bas KL Hop-On-Hop-Off,” katanya sambil menambah operasi bas itu bermula dari jam 8 pagi hingga 8 malam.
Beliau berkata, tiket bas boleh diperoleh dalam bas serta di kaunter Bukit Bintang, China Town dan KL Sentral. Syed Azhar berkata, tahun lalu syarikat mengendalikan 48,000 penumpang dan jumlah itu dijangka meningkat sekali ganda tahun ini.
Menuju hadapan, beliau mahu memastikan KL Hop-On-Hop-Off sebagai antara ikon Kuala Lumpur seperti KLCC, Menara KL dan juga monorel.
Bagi Syed Azhar, KL Hop-On-Hop-Off bukanlah perkhidmatan bas biasa, sebaliknya ia memberi pengalaman pengembaraan di Kuala Lumpur tanpa henti dan mampu menjadi saluran terbaik kepada pelancong untuk meneroka KL pada harga yang rendah.
FAKTA: KL Hop-On-Hop-Off
• KL Hop-On-Hop-Off ialah perkhidmatan bas menggunakan bas dua tingkat atau lebih dikenali sebagai double-decker.
• Ia dikendalikan Elang Wah Sdn Bhd, syarikat diterajui Syed Azhar Syed Nadzir yang ditubuhkan pada 2006 dengan usaha sama rakan niaga, Rizal Ashram Ramli.
• KL Hop-On-Hop-Off beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 8 malam.
• Bas akan berhenti di 43 tempat tarikan pelancong dan melalui laluan lebih 100 hotel di Kuala Lumpur.
• Tiket boleh dibeli pada harga RM19 untuk pelancong tempatan dan kanak-kanak RM12, manakala pelancong asing RM38 dan kanak-kanak RM17.
• Pemegang tiket boleh naik dan turun bas bila-bila masa di mana-mana 22 hentian bas KL Hop-On-Hop-Off.
• Tiket sah laku untuk tempoh 24 jam yang memberi kebebasan kepada pelancong melawat tempat yang mereka minati mengikut jadual sendiri.
• Sepanjang perjalanan, pelancong akan diberi penerangan mengenai sejarah dan tempat menarik di KL dalam sembilan bahasa mengikut pilihan mereka.
• Tiket bas boleh diperoleh dalam bas serta di kaunter syarikat itu di Bukit Bintang, China Town dan KL Sentral.
• Tahun lalu kendali 48,000 penumpang dan ia disasarkan meningkat sekali ganda tahun ini.
• Mahu jadikan KL Hop-On-Hop-Off sebagai antara ikon Kuala Lumpur selain mercu tanda sedia ada seperti KLCC dan Menara KL.
=====
Menarik bukan kisah kejayaan mereka. Semoga kisah mereka ini menjadi inspirasi kepada kita semua.
Sri Bayu Travel
Comments
Post a Comment